Rasulullah saw. Bersabda bermaksud:
"Sebesar-besar kebajikan itu ialah berakhlak dengan akhlak yang baik,
dan dosa itu ialah perasaan bimbang dalam jiwa dan engkau tidak suka
keadaan itu diketahui oleh orang lain".
Riwayat Muslim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat
junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan
pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Akhlak berasal dari perkataan al-khuluq. Al-khuluq bererti tabiat atau
tingkah laku. Akhlak yang mulia adalah matlamat utama bagi ajaran Islam.
Ini telah dinyatakan oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam dalam
hadisnya yang bermaksud :"Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk
menyempurnakan akhlak yang mulia".
Abu Darda berkata, bersabda Nabi SAW maksudnya : "Tiada sesuatu yang
lebih berat dalam timbangan seorang mukmin di hari kiamat daripada
husnul Khulq (akhlak yang baik)." (Hadis Riwayat Tirmidzi)
Aisyah r.ha. berkata, "Saya telah mendengar Rasulullah SAW. bersabda,
'Sesungguhnya seorang mukmin yang dapat mengejar budi pekerti yang baik,
darjat orang itu sama seperti orang yang terus menerus berpuasa dan
solat malam'." (Hadis Riwayat Abu Daud)
Akhlak yang mulia adalah merupakan tanda dan hasil dari iman yang
sebenar. Tidak ada nilai bagi iman yang tidak disertai oleh akhlak.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Bukanlah iman itu hanya dengan
cita-cita tetapi iman itu ialah keyakinan yang tertanam di dalam hati
dan dibuktikan dengan amalan." (Hadis riwayat Ad-Dailami).
Jabir ra. berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Sesungguhnya orang yang sangat saya kasihi dan terdekat denganku pada
hari kiamat nanti adalah orang terbaik akhlaknya. Dan orang yang sangat
aku benci dan terjauh dariku pada hari kiamat nanti adalah orang yang
banyak bicara, sombong dalam pembicaraannya, dan berlagak menunjukan
kepandaiannya." (Hadis Riwayat Tirmidzi).
Sahabat yang dimuliakan,
Islam adalah ajaran yang benar untuk memperbaiki manusia dan membentuk
akhlaknya demi mencapai kehidupan yang baik. Islam memperbaiki manusia
dengan cara terlebih dahulu memperbaiki jiwa, membersihkan hati dan
menanamkan sifat-sifat terpuji. Islam benar-benar dapat membawa manusia
untuk mencapai kebahagiaan, kelapangan dan ketenteraman.
Sebaliknya manusia akan menjadi hina apabila ia merosakkan sifat, pembawaan dan keadaan dalam jiwanya.
Terdapat 10 ciri-ciri akhlak yang mulia akan menghiasi diri seseorang insan supaya ia menjadi seorang mukmin yang benar.
Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :
Pertama : Bersifat warak dan meninggalkan perkara yang syubhat
Seorang muslim mestilah menjauhkan dirinya dari segala perkara yang
dilarang oleh Allah SWT dan juga perkara-perkara yang samar-samar di
antara halal dan haramnya (syubhat) berdasarkan dari hadis Rasulullah
SAW bersabda maksudnya
:Daripada Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer r.a. beliau berkata: Aku
telah mendengar Rasulullah Sallallahu'Alaihi Wasallam bersabda:
"Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang) dan haram itu nyata (terang)
dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak
diketahui oleh kebanyakan manusia. Maka barangsiapa memelihara (dirinya
dari) segala yang kesamaran, sesungguhnya ia memelihara agamanya dan
kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh kedalam perkara kesamaran jatuhlah
ia kedalam yang haram, seperti seorang pengembala yang mengembala di
sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternakannya) makan di
dalamnya. Ketahuilah! Bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan.
Ketahuilah! Bahawa larangan Allah ialah segala yang diharamkan-Nya.
Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik,
baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosakkalah sekeliannya.
Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati. (Hadis Riwayat Bukhari dan
Muslim)
Adapun setinggi-tinggi pencapaian darjat warak adalah sebagaimana
Rasulullah Sallallahu'Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud : "Seorang
hamba (Allah) itu tidaklah termasuk dalam martabat golongan muttaqin
sehinggalah ia meninggalkan sesuatu perkara yang tidaklah menjadi
kesalahan (jika dilakukan tetapi ia meninggalkannya) kerana sikap
berhati-hati dari terjerumus ke dalam kesalahan"
Kedua : Memelihara penglihatan.
Seseorang mukmin itu mestilah memelihara pandangan daripada melihat
perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT kerana pandangan terhadap
sesuatu (yang menarik itu) boleh merangsang syahwat dan boleh membawa
ke kancah pelanggaran dan maksiat. Sehubungan dengan ini Al-Quranul
Karim mengingatkat orang –orang mukmin supaya memelihara diri dari
penglihatan yang tidak memberi faedah, firman Allah SWT maksudnya :
"Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka
menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu
adalah lebih suci bagi mereka, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa
yang mereka perbuat". (Surah an-Nur ayat 30)
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Hendaklah kamu memelihara pandangan kamu,
menjaga kehormatan (kemaluan) kamu atau Allah akan menghodohkan wajah
kamu." (Hadis Riwayat At Tabrani)
Ketiga : Memelihara Lidah
Seseorang mukmin itu mestilah memelihra lidahnya dari menuturkan
kata-kata yang tidak berfaedah, memfitnah, berdusta, berbohong,
memaki-hamun dengan perkataan yang buruk dan kotor,
percakapan-percakapan kosong, mengumpat, mengeji dan mengadu domba.
Imam Nawawi rahimahumullah mengatakan. "Ketahuilah, seorang mukallaf itu
sewajarnya menjaga lidahnya dari sebarang percakapan kecuali percakapan
yang menghasilkan kebaikan. Apabila bercakap dan berdiam diri adalah
sama sahaja hasilnya, maka mengikut sunnahnya adalah lebih baik berdiam
diri kerana percakapan yang diharuskan mungkin membawa kepada yang haram
atau makruh. Kejadian demikian telah banyak berlaku tetapi kebaikan
darinya adalah jarang."
Sebenarnya banyak dari hadis-hadis Rasulullah Sallallahu'Alaihi Wasallam
yang menerangkan keburukan dan bencana lidah ke atas empunya diri.
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Tidaklah dihumbankan muka manusia kedalam neraka itu sebagai hasil tuaian (buruk) lidahnya"
(Hadis Riwayat Tarmizi)
Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : "Bukanlah ia seorang
mukmin (jika) jika ia suka menuduh, melaknat, bercakap kotor dan keji."
(Hadis Riwayat Tarmizi)
Sabda baginda lagi maksudnya : "Sesiapa yang banyak bercakap, maka
banyaklah kesalahannya, sesiapa yang banyak kesalahannya, maka banyaklah
dosanya, dan sesiapa yang banyak dosanya, api nerakalah paling layak
untuk dirinya."
(Hasid Riwayat Baihaqi)
Keempat : Bersifat Pemalu.
Seorang mukmin mestilah bersifat pemalu dalam setiap keadaan. Namun
demikian sifat tersebut tidak seharusnya menghalangnya memperkatakan
kebenaran. Di antara sifat pemalu seseorang ialah ia tidak masuk campur
urusan orang lain, memelihara pandangan, merendah diri, tidak
meninggikan suara ketika bercakap, berasa cukup serta memadai sekadar
yang ada dan sifat-sifat seumpamanya.
Daripada Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda
maksudnya : "Iman itu lebih daripada 70 cabang, yang terbaik daripadanya
ialah mengucapkan La ilaha illallah (Tiada tuhan yang patut disembah
kecuali Allah SWT) dan yang paling rendah ialah membuang sesuatu yang
menyakiti ditengah jalan, dan malu itu satu cabang daripada iman".
(Hadis Riwayat Muslim, bab menerangkan bilangan cabang iman, bil. 153)
Berhubung dengan sifat malu ini para ulama mengatakan: "Hakikat malu itu
ialah sifat yang menggerakkan seseorang itu meninggalkan kejahatan, dan
menghalangnya dari mencuaikan hak orang lain.
Kelima : Bersifat Lembut dan Sabar
Di antara sifat-sifat yang paling ketara yang wajib tertanam di dalam
diri seseorang mukmin ialah, sifat sabar dan berlemah lembut kerana
kerja-kerja untuk Islam akan berhadapan dengan perkara-perkara yang
tidak menyenangkan, malah jalan dakwah sememangnya penuh dengan
kepayahan, penyeksaan, penindasan, tuduhan, ejekan dan persendaan yang
memalukan. Halangan–halangan ini sering dihadapi oleh para petugas 'amal
Islami sehingga himmah dan lemah lembut mereka menjadi pudar, gerakan
menjadi lumpuh malah mereka mungkin terus berpaling meninggalkan medan
dakwah.
Dari keterangan ini jelaslah, tugas dan tanggungjawab seorang pendakwah
adalah satu tugas yang amat sukar. Ia bertanggungjawab menyampaikan
dakwah kepada seluruh lapisan manusia yang berbeza kebiasaan, taraf
pemikiran dan tabiatnya.
Firman Allah SWT maksudnya : "Tetapi orang yang bersabar dan memaafkan,
sesungguhnya (perbuatan) yang demikian itu termasuk hal-hal yang
diutamakan".(Surah al-Syura ayat 43)
Firman-Nya lagi yang bermaksud : "Dan hendaklah mereka memaafkan dan
berlapang dada, apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu?".
(Surah an-Nur ayat 22)
"Dan apabila orang-oran jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandungi) keselamatan".
(Surah al-Furqan ayat 63)
Sabda-sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam yang bermaksud :
"Sesungguhnya seorang hamba itu akan mencapai darjat orang-orang yang
berpuasa serta bersembahyang malam dengan sifat lemah-lembutnya."
Sabda Nabi SAW maksudnya : "Mahukah aku memberitahu kamu suatu perkara
yang dengannya, Allah akan memuliakan binaan (kedudukan seseorang) dan
mengangkatnya kepada beberapa darjat ketinggian. Mereka menjawab: Ya
wahai Rasulullah. Baginda bersabda: "Berlemah-lembutlah kamu terhadap
orang jahil, maafkanlah orang yang menzalimi kamu, hulurkanlah pemberian
kepada orang yang menahan pemberiannya kepadamu dan sambunglah ikatan
silaturrahim terhadap orang yang memutuskannya terhadap kamu."
Sabda Nabi SAW maksudnya : "Apabila Allah Subhanahuwata'ala telah
menghimpunkan makkhluknya di hari kiamat, penyeru pada hari itu pun
menyeru; "Di manakah orang-orang yang mempunyai keistimewaan". Baginda
bersabda: Lalu bangun segolongan manusia dan bilangan mereka adalah
sedikit. Mereka semua bergerak dengan cepat memasuki syurga lalu
disambut oleh para malaikat. Kemudian mereka ditanya: "Apakah
keistimewaan kamu". Mereka menjawab: "Adalah kami ini apabila dizalimi
kami bersabar, apabila dilakukan kejahatan kepada kami, kami
berlemah-lembut", lalu dikatakan kepada mereka: "Masuklah kamu ke dalam
syurga kerana ia adalah sebaik-baik ganjaran bagi orang yang beramal"
Keenam : Bersifat Benar dan Jujur.
Seorang mukmin itu mestilah bersifat benar dan tidak berdusta. Berkata
benar sekalipun kepada diri sendiri kerana takut kepada Allah SWT dan
tidak takut kepada celaan orang. Sifat dusta adalah sifat yang paling
jahat dan hina malahan ia menjadi pintu masuk kepada tipu daya syaitan.
Seorang yang memelihara dirinya dari kebiasaan berdusta bererti ia
memiliki pertahanan dan benteng yang dapat menghalang dari was-was
syaitan dan lontaran-lontarannya.
Berhati-hati dan memelihara diri dari sifat dusta akan menjadikan jiwa
seorang itu mempunyai pertahanan dan benteng yang kukuh menghadapi
hasutan dan tipu daya syaitan. Dengan demikian jiwa seseorang akan
sentiasa bersih, mulia dan terhindar dari tipu daya syaitan. Sebaliknya
sifat dusta meruntuhkan jiwa dan membawa kehinaan kepada peribadi insan.
Lantaran itu Islam mengharamkan sifat dusta dan menganggap sebagai satu
penyakit dari penyakit-penyakit yang dilaknat.
Rasulullah Sallallahu' Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud :
"Sesungguhnya sifat benar membawa kepada kebajikan dan sesungguhnya
kebajikan itu membawa ke syurga. Seseorang yang sentiasa bersifat benar
hinggalah dicatat di sisi Allah sebagai seorang yang benar. Dan
sesungguhnya sifat dusta itu membawa kepada kezaliman (kejahatan) dan
kejahatan itu membawa ke neraka. Seorang lelaki yang sentiasa berdusta
sehinggalah dicatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta".
(Hadis Riwayat Muttafaqun 'alaihi)
Ketujuh : Bersifat rendah diri
Seseorang mukmin mestilah bersifat tawaduk atau merendah diri khususnya
terhadap saudara-maranya yang muslim dengan cara tidak membezakan (dalam
memberi layanan) sama ada yang miskin maupun yang kaya. Rasulullh
Sallallahu'Alaihi Wasallam sendiri memohon perlindungan kepada Allah
agar dijauhkan dari sifat-sifat takbur (membangga diri). Baginda
bersabda maksudnya :
"Tidak akan memasuki syurga sesiapa yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarah (sedikit) sifat takbur."
(Hadis Riwayat Muslim)
Di dalam hadis qudsi Allah berfirman maksudnya : "Kemuliaan itu ialah
pakaianKu dan membesarkan diri itu ialah selendangKu. Sesiapa yang cuba
merebut salah satu dari keduanya pasti Aku akan menyeksanya".
(Hadis Qudsi Riwayat Muslim)
Kelapan : Menjauhi sangka buruk dan mengumpat.
Menjauhi sangka buruk dan mengintai-intai keburukan orang lain. Oleh itu
seorang itu mestilah menjauhi sifat-sifat ini kerana mematuhi firman
Allah SWT maksudnya :
"Hai orang-orang yang beriman jauhilah kebanyakan dari prasangka,
sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu adalah dosa dan janganlah
kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu
mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang dari kamu memakan
daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik
kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha
penerima taubat lagi penyayang". (Surah al-Hujurat ayat 12)
Allah SWT berfirman lagi yang maksudnya : "Dan orang-orang yang
menyakiti orang-orang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka
perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang
nyata."
(Surah al-Ahzab ayat 58)
Dan Rasulullah SAW bersabda maksudnya :
"Wahai golongan yang beriman dengan lidahnya sahaja, sedang iman belum
memasuki hatinya, janganlah kamu mengumpat orang-orang Islam yang lain
dan janganlah kamu mengintai-intai keburukan mereka, kerana sesiapa yang
mengintai-intai keburukan saudaranya, Allah akan membongkar
keburukannya sekalipun ia berada di dalam rumahnya." (Hadis Riwayat Abu
Daud)
Kesembilan : Bersifat pemurah.
Seorang mukmin mestilah bersifat pemurah, sanggup berkorban dengan jiwa
dan harta bendanya pada jalan Allah. Di antara cara yang dapat
menyingkap kebakhilan seseorang itu ialah dengan cara memintanya
membelanjakan wang ringgit kerana berapa banyak dari kalangan mereka
yang berkedudukan, berharta dan berpangkat gugur dari jalan ini,
lantaran rakus terhadap mata benda. Di dalam al-Quran al-Karim sendiri
terdapat banyak ayat yang menjelaskan ciri-ciri keimanan yang dikaitkan
dengan sifat pemurah.
Firman Allah SWT maksudnya : "Orang-orang yang mendirikan solat dan yang
menafkahkan sebagian dari rezeki yang kami berikan kepada mereka."
(Surah al-Anfal ayat 3)
Firman-Nya lagi yang bermaksud : "Dan apa saja harta yang baik yang kamu
nafkahkan (di jalan Allah) maka pahalanya itu untuk diri kamu sendiri.
Dan janganlah kamu membelanjakan sesuatu melainkan kerana mencari
keredhaan Allah. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan
nescaya kamu akan diberikan pahalanya dengan cukup sedang kamu
sedikitpun tidak dianiayai".(Surah al-Baqarah ayat 272)
Orang-orang yang bakhil atau kikir seharusnya mendengar dan mengambil
pelajaran dari pesanan Rasulullah Sallallahu'Alaihi Wasallam maksudnya :
"Tidaklah hamba-hamba Allah bangun di pagi hari, kecuali disertai
dengan turunnya dua malaikat. Salah satu dari keduanya lalu berkata :
'Ya Allah berilah orang yang berinfaq ganti (dari barang yang
diinfaqkan)'. Dan salah satu lagi berkata ; 'Ya Allah berilah orang yang
menahan (bakhil) akan kerugian."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kesepuluh : Qudwah Hasanah (Suri teladan yang baik)
Selain dari sifat-sifat yang disebutkan di atas, seorang mukmin mestilah
menjadikan dirinya contoh ikutan yang baik kepada orang ramai. Segala
tingkah lakunya adalah menjadi gambaran kepada prinsip-prinsip Islam
serta adab-adabnya seperti dalam hal makan minum, cara berpakaian, cara
pertuturan, dalam suasana aman, dalam perjalanan malah dalam seluruh
tingkah laku dan diamnya. Membina diri menajdi suri teladan merupakan
peranan besar yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW.
Firman Allah swt yang bermaksud: "Sesungguhnya telah ada pada (diri)
Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang
mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak
menyebut Allah " ( Surah al-Ahzab Ayat 21 )
Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita beramal dengan 10 ciri-ciri akhlak mulia dan terpuji
seperti yang dinyatakan diatas. Akhlak yang mulia dan terpuji adalah
asset yang besar di dunia dan akhirat. Jika di dunia kita akan dikasihi
oleh manusia dan akan menjadi ikutan dan jika di akhirat akhlak yang
mulia dan terpuji adalah menjadikan amalan yang memberatkan timbangan
(mizan) kita di sana. Jadikanlah akhlak yang terpuji ini sebagai pakaian
hidup kita dan menjadikan kita hamba Allah SWT yang diredai-Nya di
dunia dan akhirat.
Artikel Oleh: https://www.facebook.com/abu.basyer
إِنَّا أَخْلَصْنَاهُم بِخَالِصَةٍ ذِكْرَى الدَّارِ
Sesungguhnya Kami telah menyucikan mereka dengan (menganugerahkan kepada mereka) akhlak yang tinggi, yaitu selalu mengingatkan (manusia) kepada negeri akhirat
(Surah As-Suad 38: Ayat ke 46)
Sumber: Iluvislam.com
Sesungguhnya Kami telah menyucikan mereka dengan (menganugerahkan kepada mereka) akhlak yang tinggi, yaitu selalu mengingatkan (manusia) kepada negeri akhirat
(Surah As-Suad 38: Ayat ke 46)
Sumber: Iluvislam.com
0 komentar:
Posting Komentar